JERMAN – Bimbang kehidupan bebasnya termasuk hubungan seks akan terjejas, seorang gadis bertindak kejam dengan mengelar leher bayi yang baru 30 minit dilahirkannya, sebelum dia pergi berlibur di sebuah disko.
Gadis itu, Nadine Koenig, 20, dari Regensburg, telah membunuh bayinya itu dengan pisau kerana bimbang kehidupannya akan terganggu dengan kelahiran bayi tidak berdosa tersebut.
Perkara itu didedahkan oleh pendakwaraya dalam perbicaraan kes bunuh terhadap gadis berkenaan.
“Awak bimbang kehidupan sosial dan hubungan seks awak akan terjejas dengan kelahiran bayi itu, menyebabkan awak tidak dapat berfikir dengan betul dan bertindak kejam,’’ kata pendakwaraya Ulrike Klein.
Nadine yang menyembunyikan kehamilannya daripada ibu bapanya, telah melahirkan bayi tersebut di rumahnya, pada bulan Februari tahun lepas.
Selepas membunuhnya, dia membuang mayat bayi itu berhampiran Danube. Setelah Nadine ditangkap, ibunya, Kerstin, 44, membunuh diri.