Petronas menafikan berlaku fenomena luar biasa berhampiran pelantarnya di perairan Terengganu kononnya pelbagai spesies hidupan laut timbul di permukaan laut dan melompat naik ke atas pelantar seperti yang tersebar luas di internet.
Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Media Petronas Wilayah Pantai Timur, Zamri Mohamad berkata, siasatan pihaknya mendapati tidak wujud kejadian seumpama itu di pelantar milik Petronas iaitu Bekok A dan Bekok C, di Terengganu baru-baru ini.
Malah, jelasnya, berdasarkan maklum balas kakitangan yang bertugas di pelantar berkenaan sejurus dihubungi bagi mengesahkan fenomena yang didakwa berasaskan gambar dalam internet tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Saya sudah hubungi mereka (kakitangan Petronas) di pelantar, mereka sahkan keadaan di sana selamat dan dalam suasana aman damai.
“Tiada langsung gambaran seperti disiarkan dalam gambar yang kini tersebar luas di internet, dakwaan itu palsu,” katanya.
Zamri berkata, adalah sukar untuk membolehkan kehidupan laut termasuk ikan lumba-lumba melompat naik ke atas pelantar memandangkan jarak antara permukaan laut dengan dek pelantar bersamaan ketinggian tiga tingkat bangunan.
Kata beliau, sehingga kini pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai motif sebenar gambar itu dimuat naik di dalam internet.
“Setakat ini kita tak tahu siapa yang bertanggungjawab merakam gambar itu dan memuat naik dalam internet dan apa tujuan dia buat begitu sedangkan semua dakwaan dibuat adalah tidak benar,” jelasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan gambar tersebut dirakamkan di tempat lain atau menggunakan teknik superimpose bertujuan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Semalam, gambar tersebut mula disiarkan di dalam satu laman blog sebelum tersebar luas menerusi internet mengenai pelbagai spesies kehidupan laut melompat-lompat di permukaan laut serta dakwaan ikan naik ke atas pelantar di perairan Terengganu dekat Kemaman.
Keterangan gambar itu antaranya menyebut: “Pelantar minyak di perairan Terengganu… ikan lumba2.. ketam dan segala jenis haiwan laut berlompatan lari ke darat… sampai pekerja pelantar melaungkan azan… jaga2.”
Sumber Agendadaily