Monday 19 May 2014

Ayah Kamu Sendiri Meminta Kamu Dipenjara. Jadi, Saya Perlu Hormatinya…


KOTA BHARU – Gara-gara mengancam mencederakan bapanya,  seorang lelaki menerima padah apabila dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Wan Mohamad Fauzan Wan Zakaria, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.
Ketika membacakan keputusan itu, Nik Habri berkata hukuman itu dijatuhkan kerana menghormati permintaan bapa tertuduh, Wan Zakaria Wan Ismail, 57, yang mahu anaknya itu dipenjara lebih setahun atau sehingga dua tahun.
“Ayah kamu sendiri yang menulis keterangan dan meminta kamu dipenjara setahun lebih hingga dua tahun. Jadi, saya perlu hormatinya,” kata Nik Habri.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan pada 4 Mei lepas.
Mengikut pertuduhan, Wan Mohamad didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan kepada bapanya di Kampung Bemban, Padang Kala, Melor di sini pada 6 petang, 4 Mei 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA