Pengacara dan penyampai radio Mix FM, Sarimah Ibrahim, 36, mendedahkan yang dia sedang menjalin hubungan cinta bersama seorang jejaka bernama Jamie atau nama sebenarnya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar. Jejaka berusia 42 tahun itu bekerja dalam bidang amanah saham, berstatus duda juga merupakan cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10.
“Saya berkenalan dengan dia di satu majlis makan malam, kawan saya berkawan dengan kawan Jamie. Namun begitu, pada awal perkenalan saya dengan Jamie, saya pun tidak tahu dia bangsa apa. Saya juga agak pelik apabila orang asyik panggil dia ‘Tunku’. Lalu saya lakukan carian Google mengenainya dan akhirnya saya tahu siapa dia,” jelas Sarimah ketika ditemui di Studio Mix FM pada Rabu.
“Kami berkenalan sudah tiga bulan. Setakat ini semuanya baik-baik sahaja. Saya ada berjumpa dengan keluarganya dan dia pun ada berjumpa dengan keluarga saya untuk kami mengenali hati budi masing-masing dengan lebih rapat,” kata wanita kacukan Melayu dan Irish ini.
“Ada juga bertanya, kenapa saya dedahkan hubungan ini kerana baru tiga bulan sahaja. Pada saya, akhirnya semua terletak di tangan Tuhan. Saya mahu mengelak gosip sahaja. Ada tanggapan mengatakan saya masih berkahwin, begitu juga dengan Jamie. Jadi untuk mengelak cakap-cakap orang, perkara yang terbaik adalah beritahu perkara sebenar,” jelas Sarimah lagi.
Ketika ditanya adakah dia sudah bersedia untuk menjalinkan hubungan semula setelah beberapa hubungan yang dijalinkan sebelum ini berkahir, Sarimah mendedahkan sebenarnya dia takut dengan perkara ini.
“Saya takut. Sebelum ini saya pernah berkahwin dan berpisah. Sama juga dengan Jamie. Saya pernah berdoa kepada Allah, untuk ditemukan dengan seseorang untuk membimbing dan menjaga saya. Akhirnya selepas lima tahun, saya terbuka hati untuk mengenali Jamie.
“Sejujurnya, sebelum ini saya memang tidak terbuka hati, ada juga terfikir untuk mengambil anak angkat. Akhirnya, saya berkenalan dengan Jamie. Walaupun baru lagi, saya minta semua doakan yang baik-baik untuk kami. Saya tidak mahu berselindung,” kata Sarimah lagi.
SUMBER GUA.MY