Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-22 yang terkenal dengan lagu “Itu Kamu”, “Yang Pernah” dan “Aurora” ini bakal membawa muzik yang diperjuangkan jauh ke negara matahari terbit. Ditaja sendiri, ini merupakan usaha Estranged untuk membawa muzik mereka ke pasaran baru dan kali ini Jepun menjadi sasaran.
Nampak seperti sepi seketika dari dunia hiburan tanah air, hakikatnya kumpulan yang baru sahaja meriliskan album 'Greatest Hits' ini sering sibuk memenuhi persembahan di acara-acara tertutup. Malah waktu yang ‘senyap’ ini dipenuhi dengan persediaan rapi dari segi latihan untuk persembahan mereka di Jepun kelak.
Estranged akan melakukan siri jelajah ke tiga buah kota di Jepun iaitu Tokyo, Osaka dan Nagoya. Pengalaman dan pembelajaran berharga ini sudah pastinya akan dikongsi bersama band-band Jepun untuk rangkaian lima gig yang telah diaturkan.
14 April - Live labo Yoyogi, Tokyo
15 April - Imauke Club 3Star, Nagoya
16 April - Shinsaibashi Atlantis, Osaka
18 April - Otsuka Hearts, Tokyo
20 April - Meguro Rockmaykan, Tokyo
Setiap gig dijangka memakan masa antara 30 hingga 45 minit. Mereka akan membawa sekitar lapan ke sembilan buah lagu yang dipetik daripada album 'In Hating Memory', 'Remain Unknown' dan 'Anugerah Hidup'.
"Kami memang berasa seronok dapat melakukan gig di Jepun. Mudah-mudahan segala usaha dan kerja keras kami menghasilkan sesuatu yang positif. Harapan kami agar muzik kami dapat menembusi pasaran baru dan pada masa yang sama, belajar dari pengalaman yang akan ditimba sepanjang sembilan hari di sana," ujar vokalis Rich.
“Siri jelajah ini adalah usaha dan pelaburan Estranged sendiri dengan harapan yang tinggi untuk memperkenalkan muzik kami kepada orang Jepun. Walaupun hanya dapat menambat hati seorang rakyat Jepun, itu sudah memadai. Kalau dapat lebih ramai, itu akan menjadi bonus besar buat kami.”
SUMBER GUA.COM.MY