Saturday 14 December 2013

[WTF] Pelajar UiTM Pun Ada Berfahaman Syiah

Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd. Daud mendakwa terdapat ribuan pelajar antarabangsa di Malaysia termasuk yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganuti fahaman Syiah.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan memperjelaskan nasib kesemua pelajar antarabangsa terbabit berikutan pendirian tegas pihak berkuasa Malaysia mahu memerangi fahaman itu di negara ini.
“Ribuan pelajar antarabangsa di Malaysia merupakan warga Iran yang kebanyakannya pengikut ajaran Syiah yang bergaul secara terbuka dengan pelajar tempatan. Saya percaya dalam UiTM sendiri terdapat kelompok pelajar antarabangsa yang merupakan pengikut Syiah.
“Sekiranya kerajaan Malaysia serius dalam memerangi Syiah, adakah pelajar-pelajar antarabangsa yang telah membelanjakan wang yang banyak untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia akan diarahkan untuk berhenti mengaji dan keluar dari Malaysia secara serta-merta,” soalnya melalui satu kenyataan media hari ini.
Dyana Sofya turut membayangkan langkah pihak berkuasa mahu memerangi fahaman Syiah bercanggah dengan usaha kerajaan Malaysia mahu menggalakkan ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di negara ini.
Ia kerana, dakwa beliau, lebih 200 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mendapat kebenaran kerajaan untuk membawa masuk pelajar antarabangsa dan aktiviti mempromosikan pengajian tinggi juga sedang giat dilaksanakan melalui Pusat Promosi Pendidikan Malaysia (MEPC).
Beliau turut mendakwa, usaha pengantarabangsaan dan pembinaan reputasi IPT tempatan sebenarnya menjana hasil pendapatan negara melalui enrolmen pelajar antarabangsa dan penjimatan pertukaran wang asing negara.
Justeru, beliau mendakwa, isu memerangi ajaran Syiah cuma bertujuan mengalih perhatian masyarakat terhadap isu pengurangan subsidi minyak, penghapusan subsidi gula, kenaikan tarif elektrik, pengenalan cukai cukai barang dan perkhidmatan (GST), kenaikan cukai pintu serta kenaikan tambang sistem transit aliran ringan (LRT) dan monorel.
“Akhir sekali, saya ingin bertanya sama ada kegiatan memerangi Syiah ini khas untuk orang Melayu-Islam di Malaysia sahaja. Sekiranya ini benar, adakah umat Islam di Malaysia ini berlainan dengan umat Islam dari negara lain.
“Jika definisi Islam disempitkan di negara kita adakah ia akan bermaksud bahawa umat Islam dari negara lain itu tidak akan dianggap sebagai Islam di negara kita,” soal beliau.