Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE)
yang mempunyai 40,000 anggota hari ini memberi amaran kepada Bank Hong Leong
supaya mengambil semula 27 daripada anggotanya yang dipecat atau menghadapi
tentangan seluruh anggotanya hingga boleh menjejas operasi dan reputasi bank
itu.
Kesatuan itu setakat ini telah berpiket selama 50 jam di hadapan ibu pejabat
bank itu di Jalan Perak dan akan terus berbuat demikian selama 10 jam setiap
hari sehingga perkara itu selesai, Setiausaha Agungnya, J Solomon, memberitahu
persidangan akhbar di sini.
Beliau berkata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang dianggotai oleh
NUBE menyokong penuh kesatuan demi menentukan pekerja mendapatkan keadilan.
Presiden MTUC yang baru dipilih semula, Khalid Atan yang turut hadir di
persidangan akhbar itu berkata kongres akan menggerakkan seluruh sumbernya bagi
membantu badan gabungannya.
Khalid menyifatkan pemecatan itu sebagai tidak adil dan menggesa Kementerian
Sumber Manusia menggunakan jasa baiknya untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Sementara itu, Hong Leong Bank Bhd (HLBB) dalam satu kenyataan berkata ia
telah melaksanakan eksesais rasionalisasi sebagai sebahagian daripada usaha
berterusan untuk mengkaji bisnesnya dan mengekalkan daya saing agar ia dapat
terus menyediakan perkhidmatan yang efisyen dan lebih baik kepada pelanggannya.
“Kesemua pekerja yang terjejas oleh eksesais itu telah diberitahu mengenai
‘relokasi’ (pertukaran tempat kerja) mereka pada Februari 2013 dan notis
pertukaran dikeluarkan pada Jun 2013 dengan tarikh perukaran awal 18 Sept, 2013.
“Tarikh pertukaran ini kemudiannya ditangguhkan hingga 18 Nov 2013 bagi
memberi lebih masa kepada pekerja terjejas untuk membuat persiapan perlu.
Belanja pertukaran tempat kerja dan elaun rumah bulanan juga disediakan kepada
mereka yang terjejas.
“Pada 18 Nov, 2013, petugas yang tidak melapor diri di pusat baru mereka
diberikan surat ingatan supaya melapor tugas,” katanya.
HLBB terus komited untuk berusaha mencapai penyelesaian aman, tetapi setakat
ini, oleh kerana perkara itu telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan, ia tidak
dapat mengulas lebih lanjut, katanya.
Sumber Bernama