Saturday 21 December 2013

[COOL] VIDEO: Kisah ‘BELACAN DAN PAKU’…Dua Mat Salleh Peminat Tegar P. Ramlee!

Seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada zaman kegemilangannya sudah cukup terkenal sehingga menempa nama di peringkat Asia.
Jika dikaji dengan teliti, sebenarnya zaman kegemilangan beliau tidak pernah putus sehingga ke hari ini kerana filem-filem arahannya masih lagi ditayangkan di stesen televisyen tempatan sehingga ke hari ini.
Bukan di televisyen sahaja, di laman Youtube juga berlambak-lambak babak dari filem lakonan Allahyarham dan ia ditonton beribu-ribu kali oleh mereka yang melayari laman video berkenaan.
Di laman Youtube, ada dua orang lelaki Mat Salleh yang dilihat seperti meminati karya-karya dari lagu Melayu dan juga filem arahan P Ramlee.
Sejak tahun 2010, mereka mula mengejutkan ramai orang di Malaysia dengan lagu “Tarian Mat Salleh” mereka yang walaupun bunyinya agak pelat tetapi, mereka menunjukkan inisiatif bahawa mereka mahu mendalami akar dan budaya rakyat Malaysia.
Pada 16 November 2010, mereka menghasilkan satu video khusus sebagai penghargaan sebagai seniman agung negara itu.
Mereka melakonkan babak dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ ketika Ramli, Aziz dan Sudin belajar menulis dan membaca jampi untuk mereka pergi bertapa dalam pembelajaran silat mereka dengan Pendekar Mustar.
Biarpun video itu sudah lama dihasilkan, ia menjadi viral sejak akhir-akhir ini selepas video itu dikongsikan di laman-laman sosial di Malaysia.
Walaupun lakonan mereka berdua yang menggelarkan diri mereka Belacan Dan Paku nampak agak kekok dan terpaksa menggunakan skrip, tetapi semangat mereka meminati Allahyarham P Ramlee sememangnya wajar dipuji.
Paku adalah lelaki yang berbadan kurus, manakala Belacan yang berisi sedikit, mereka masing-masing berasal dari Arizona dan Utah, Amerika Syarikat.
Mereka arif berbahasa Melayu selepas kedua-duanya menjadi sukarelawan di Sarawak pada 2007. – MYNEWSHUB.MY
Sumber mynewshub.my