Wednesday, 14 May 2014

TERBONGKAR!! Australia dedah jumlah peruntukan cari MH370


KERAJAAN Australia telah memperuntukkan $89.9 juta Dolar (RM271 juta)  pada belanjawan 2014 negara itu untuk meneruskan operasi pencarian pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 di kawasan selatan Lautan Hindi.
Laporan Daily Mail UK menyebut jumlah itu diperuntukkan kerana jangkaan Australia bahawa operasi pencarian berskala besar itu berkemungkinan berlarutan selama kira-kira dua tahun.
Lebih-lebih lagi pencarian yang sedang dijalankan sehingga hari ini gagal menemui sebarang objek yang berkaitan dengan pesawat itu.
Kerajaan Australia turut mengumumkan perbelanjaan sebanyak $27.9 juta Dolar kepada Jabatan Pertahanan untuk menampung kos pencarian pesawat MH370 sehingga bulan depan.
Sebanyak $2 juta Dolar pula akan diperuntukkan kepada Pusat Koordinasi Kerjasama Agensi (JACC) yang diwujudkan pada 30 Mac lepas untuk mengendalikan operasi mencari.
“Kerajaan akan menyediakan sehingga $89.9 juta Dolar untuk tempoh dua tahun sebagai sebahagian daripada komitmen Australia untuk mencari pesawat MH370.
“Sebanyak $60 juta Dolar lagi belanjawan tambahan untuk dua tahun akan disediakan untuk Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) untuk fasa seterusnya pencarian pesawat yang hilang pada 8 Mac lepas itu,” menurut kenyataan belanjawan.
Pengumuman berkenaan dibuat selepas beberapa ketika berita dari pasukan mencari bahawa isyarat ping yang dikatakan hadir dari kotak hitam pesawat MH370 yang hilang berkemungkinan besar tidak langsung berpunca dari pesawat itu.
Seorang pegawai kanan Tentera Laut Australia berkata beliau berasakan ada beberapa isyarat yang dikesan bulan lepas sebenarnya tidak datang dari kotak hitam MH370.
Komander Tentera Laut Australia James Lybrand berkata empat isyarat ping yang dikesan oleh kapal selam robotik milik Amerika Syarikat Bluefin-21 bukan hadir dari alat yang dicipta manusia kerana isyaratnya terlalu lemah.
Pasukan pencarian mengesan dua isyarat pada 5 April lepas dengan frekuensi 33.5kHz sebelum dua lagi isyarat dikesan tiga hari selepas itu dengan frekuensi 27kHz.
Dengan dua isyarat dilihat lebih rendah dari frekuensi alat pengesan kotak hitam iaitu 37.5kHz, isyarat yang dikesan pada 5 April adalah dilihat berkemungkinan datang dari pesawat yang hilang itu.
Menurut Lybrand, frekuensinya yang rendah berkemungkinan berpunca dari kuasa bateri yang semakin lemah ditambah keadaan laut yang bergelora.