Wednesday, 7 May 2014

SYABAS! Tandas Lotus Desaru Beach Resort Berwajah Baru Kurang 24 Jam


DESARU – Dalam tempoh kurang 24 jam, bangunan kontroversi tandas dan bilik persalinan di Lotus Desaru Beach Resort telah berubah wajah dengan lakaran berbentuk seperti kubah di bahagian dinding turut dikikis dan dicat semula.
Proses pengubahsuaian bangunan berkenaan ditunjukkan kepada Mynewshub.my oleh pihak pengurusan resort oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Lotus R Indra Ghandi semalam.
Para pekerja resort bekerja sepanjang malam mengikis ukiran berkenaan dan dicat semula dengan warna krim bagi memastikan isu itu diselesaikan terus tanpa sebarang isu berbangkit pada masa akan datang.
“Berdekatan dengan bangunan berkenaan ada dua tiang yang turut memiliki kubah dan pihak pengurusan turut mengambil keputusan menanggalkannya dan menggantikan puncak tiang itu dengan bentuk kon.
“Kita tiada masalah untuk menanggalkannya kerana pada awal pun kita tiada niat lain selain hanya untuk mencantikkan lagi bangunan itu tanpa niat untuk menghina sensitiviti mana-mana agama khususnya agama Islam,” katanya kepada Mynewshub.my semalam.
Bangunan tandas dan bilik persalinan itu kini kelihatan kosong tanpa sebarang ukiran atau kubah di atasnya.


Isu tercetus pada Ahad lepas apabila pihak polis di Bandar Penawar meminta pihak resort menanggalkan tiga kubah di atas bangunan itu kerana ia telah tersebar di internet dengan dakwaan penghinaan kepada agama Islam. – MYNEWSHUB.MY