Dunia hiburan tempatan kini masih lagi hangat dengan kisah cinta dan putus cinta singkat yang dialami pelakon Lana Nodin dan Johan As’ari.
Sebelum ini, tidak sampai sebulan bercinta, Johan tampil memberi pengakuan bahawa hubungannya dengan Lana sudah pun putus kerana tidak mendapat restu daripada ahli keluarganya.
Bertitik tolak daripada itu, ramai peminat mengandaikan Johan sebagai jejaka yang begitu mudah menabur janji manis kepada pasangannya.
Lihat sahajalah rekodnya sebelum ini, Johan dilaporkan pernah rapat dengan Izreen Azminda, malah Izreen juga mendedahkan Johan pernah mengajaknya bertunang, namun dinafikan sekeras-kerasnya aktor itu apabila ditanya pihak media mengenai isu tersebut.
Mengulas lanjut mengenai kisah putus cintanya dengan pelakon berusia 27 tahun itu, Lana, 34, mengatakan hubungan mereka terputus disebabkan tidak mendapat restu keluarga Johan adalah hanya alasan semata-mata.
“Bagi saya, tidak mendapat restu hanya sekadar alasan. Jika Johan ikhlas mahu memperisterikan saya tentunya dia bersungguh-sungguh dalam perhubungan ini terutama merapatkan saya dengan keluarganya.
“Banyak lagi masa untuk memperbaiki dan memujuk hati keluarganya, tapi Johan nampaknya sudah menyerah kalah,” katanya memetik laporan akhbar sisipan Bi-Pop, hari ini.
Lana juga sempat menitipkan pesanan buat Johan agar jangan mempermainkan hati dan perasaan orang lebih-lebih lagi apa yang dilakukannya ini membabitkan maruah dan aib seseorang.
Sepanjang kontroversi hubungannya dengan Johan mendapat perhatian media seluruh negara, nampaknya Lana sentiasa tenang dalam memberikan jawapan serta reaksinya.
Mungkin pengalaman cinta yang lalu memberi pengajaran kepada Lana, malah jawapannya memang nampak sungguh matang jika hendak dibandingkan daripada pihak yang sebelah sana.
Salutlah Lana!
Sumber mynewshub.my