BRAZIL – Sebuah kapal pesiaran, MSC Magnifica kini tidak senang duduk selepas rakaman video yang memaparkan salah seorang pekerja kapal tersebut membuang sampah di dalam laut, telah tersebar.
Ketika rakaman, ia dilaporkan belayar di perairan Brazil.
Perkara itu didedahkan oleh peguam maritim, Jim Walker, yang menjelaskan bahawa video itu didedahkan oleh bekas pekerja kapal berkenaan.
Rakaman selama 10 saat itu menunjukkan beg sampah hitam yang dibuang dalam laut itu mengandungi plastik, minyak yang digunakan dan barang lain
Selain plastik, ia juga menunjukkan pekerja membuang longgokan kayu.
Perbuatan berkenaan adalah salah di bawah Konvensyen Antarabangsa bagi mengelakkan pencemaran dari kapal (MARPOL).
MARPOL menyebut bahawa semua sampah termasuk plastik beg adalah dilarang dibuang di dalam laut.
Bagaimanapun ia tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu didedahkan selepas media Brazil melaporkan insiden sama yang berlaku pada bulan Disember lalu.
Kontroversi itu melanda ketika operator kapal berkenaan, MSC Cruise dalam usaha untuk mengembangkan lagi perkhidmatannya ke utara Amerika.