Seorang Raja Bomoh yang muncul sebelum ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan bubu mata pancing untuk mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS), muncul lagi hari ini kali ini melakukan ritual ala-ala tikar terbang pula.
Bomoh berkenaan Ibrahim Mat Zin hadir bersama lelaki memakai sut lengkap melakukan ritual mencari pesawat berkenaan dengan gaya-gaya seperti tikar terbang dalam filem Laksamana Do Re Mi.
Di bahagian belakang tikar berkenaan ada seorang pemuda memegang dua biji buah kelapa tidak diketahui fungsinya.
Semacam satu kemestian, apabila ada kes kehilangan sebegini pastinya kumpulan seperti ini muncul elok pula berpakaian sut kemungkinan tahu ada pihak media yang bakal merakamkan gambar mereka sedang melakukan ritual berkenaan.
Dalam satu gambar yang sudah tersebar di laman media sosial, kumpulan itu duduk bersila di atas tikar berkenaan seperti bersiap sedia untuk terbang dan turut sama menyertai operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan lokasi pesawat MH370 berkenaan.
Kumpulan ini mendapat kecaman dan kritikan hebat di media sosial kerana disifatkan sebagai memalukan Malaysia yang dikenali sebagai antara contoh negara yang konsisten dalam mempraktikkan syariat Islam.
Bomoh itu juga dilihat sebagai melakukan jenaka memalukan pada saat ahli keluarga penumpang MH370 sedang tertanya-tanya dan menanti khabar terkini di manakah pesawat yang dinaiki ahli keluarga mereka.
Rasanya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu meletakkan petugas di kawasan KLIA pada ketika ini untuk mengelakkan kumpulan seperti ini hadir dengan lebih ramai dan melakukan ritual yang pelik-pelik kononnya untuk membantu mencari pesawat MH370.
Jika ada satu bomoh sudah terlepas dan mendapat perhatian lensa kamera pihak media selepas ini tidak tahulah lagi berapa orang bomoh akan mencuba nasib dan datang ke KLIA untuk melakukan ritual mereka pula.
Apabila melihat videonya, ingatkan tikar terbang rupa-rupanya sampan atas lantai jer.. –MYNEWSHUB.MY