Sekurang-kurangnya enam orang sudah disahkan maut manakala beberapa yang lain dikhuatiri masih tertimbus apabila letupan disebabkan kebocoran gas memusnahkan dua bangunan di bandaraya New York, Amerika Syarikat.
Pada kejadian semalam, seramai 200 anggota bomba telah dikerahkan untuk memadam kebakaran. Sejurus selepas api berjaya dikawal, pasukan penyelamat dilihat bertungkus lumus memulakan usaha mencari mangsa di sebalik timbunan bangunan hinggalah ke malam hari.
Datuk Bandar New York, Bill de Blasio dilaporkan berkata, terdapat laporan tentang kebocoran gas di bangunan terbabit telah dimaklumkan kepada syarikat utiliti 15 minit sebelum letupan berlaku pada pagi Rabu.
Selain enam yang disahkan maut, Jabatan Bomba New York menyebut 22 orang lagi mengalami kecederaan termasuk tujuh kanak-kanak dengan seorang daripadanya dalam keadaan kritikal.
Tinjauan ABC News bagaimanapun mendakwa, hospital berhampiran lokasi letupan merekodkan 64 pesakit telah dirawat ekoran insiden tersebut.
Seorang saksi dilaporkan memberitahu The New York Daily News, dia sudah menghidu bau gas seminggu sebelum kejadian letupan lagi.