Saturday 14 December 2013

[POWER] Suri Rumah Hilang RM20K Begitu Sahaja… Hebatnya Ilmu Hitam!

Seorang suri rumah mendakwa kerugian kira-kira
RM20,000 apabila barang kemasnya hilang tanpa disedarinya selepas bertemu dengan
dua lelaki ketika pulang dari pasar malam semalam.

Wanita berusia 45 tahun dari Felda Keratong 3, dekat sini itu mendakwa
dirinya seperti dipukau selepas dihampiri seorang lelaki yang bertanyakan lokasi
sebuah rumah yang tidak diketahuinya.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya, dalam kejadian 6 petang itu,
mangsa sedang menghidupkan enjin motosikalnya sebelum salah seorang suspek
datang dan bertanyakan lokasi sebuah rumah, dalam loghat Sabah.

“Mangsa menjawab tidak tahu (lokasi rumah yang dicari itu). Seorang lagi
lelaki (dipercayai suspek kedua) datang dari arah belakang mangsa dan mencelah
dengan mengatakan dia tahu lokasi rumah tersebut.

“Suspek pertama mengucapkan terima kasih sebelum memberikan sebiji batu
merah kepada mangsa dan juga lelaki yang membantunya (suspek kedua) sebagai
tanda penghargaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek pertama terus beredar manakala suspek kedua bertanya
kepada mangsa kegunaan batu tersebut.

“Mangsa dan suspek kedua kemudiannya mengejar suspek pertama untuk
mendapatkan maklumat tentang batu itu. Suspek pertama yang dapat ditemui itu
mengatakan batu itu boleh dibuat ubat seperti penawar gigitan serangga dan
sebagainya.

“Suspek memaklumkan batu itu perlu dibungkus dengan kain putih dan
jika tiada, gantikan dengan wang kertas seringgit,” katanya.

Johari berkata, mangsa kemudiannya menanggalkan semua barangan kemas yang
dipakainya seperti rantai leher, gelang tangan dan cincin selepas dimaklumkan
bahawa dia tidak boleh memakai barangan kemas.

“Mangsa menanggalkan semua barang kemas yang dipakainya dan memasukkannya ke
dalam beg duitnya (mangsa),” katanya.

Sampai di rumah, mangsa mendapati barangan kemasnya ‘bertukar’ menjadi batu.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber bernama