Thursday 19 December 2013

[BIAR BETUL] Senator Minta Kaji Hukuman Sebat, Pesalah Boleh Hilang ‘KELAKIAN’!


Senator Minta Kaji Hukuman Sebat...Dakwa Mungkin Pesalah Boleh Hilang 'KELAKIAN'
gambar hiasan
Seorang anggota Dewan Negara hari ini
mencadangkan supaya kajian dibuat untuk mempastikan sama ada hukuman sebat ke
atas pesalah lelaki boleh menyebabkan pesalah berkenaan hilang ‘kelelakian’.

Senator Datuk Johari Ibrahim berkata beliau mendengar banyak aduan dan
pengakuan, termasuk daripada mereka yang pernah menjalani hukuman itu berhubung
perkara berkenaan.

“Kalau (dakwaan itu) betul, ini merupakan satu penganiayaan kepada pesalah
berkenaan dan juga isteri jika bekas pesalah telah berkahwin dan mengharapkan
zuriat.

“Jadi kita kena lihat cara sebatan itu kerana bagi saya hukuman sebat
bertujuan untuk mengajar dan bukan untuk menyeksa,” katanya semasa membahaskan
Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 di Dewan Negara, di sini.

Dalam isu lain, Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah mencadangkan supaya
mana-mana pihak yang mencemar kedaulatan bendera Malaysia dilucutkan
kewarganegaraan dan dikenakan hukuman yang lebih berat sebagai pengajaran.

Beliau yang membahaskan rang undang-undang sama berkata pada masa ini
hukuman yang dikenakan belum cukup tegas untuk mendidik pesalah berkenaan.

Cadangan itu dipersetujui Senator Datuk Noriah Mahad yang juga mahu
Kementerian Dalam Negeri turut mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang
tidak menghormati nyanyian Negaraku, institusi raja-raja dan sebarang simbol
kebangsaan.

“Contohnya mengubah corak, terbalikkan lambang, bakar, sehingga ada yang
mengibarkan Sang Saka Malaya ketika 31 Ogos lalu,” katanya yang turut menolak
pandangan Senator Saiful Izham Ramli bahawa perbuatan itu bertujuan mengingatkan
rakyat mengenai sejarah hitam negara.

Menegaskan bahawa rakyat tidak perlu mengenang sejarah hitam negara, Noriah
berkata Jalur Gemilang sudah diiktiraf, dihormati dan dikenali masyarakat dunia
sebagai bendera rasmi Malaysia dan ia tidak seharusnya diganti dengan bendera
lain hanya kerana kepentingan politik murahan pihak tertentu.

Kontroversi itu timbul selepas sekumpulan individu didapati mengibarkan
bendera alternatif itu pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, di Dataran
Merdeka.


Sumber bernama