Saturday 14 December 2013

[...] 28 Tahun Diburu, Adik Beradik ‘GENG MAMAK’ Kantoi Malam Tadi!

28 Tahun Diburu, Adik Beradik 'GENG MAMAK' Kantoi Malam Tadi!
Akhirnya
Selepas 28 tahun diburu, dua beradik yang menganggotai Geng Mamak diberkas polis sejurus selepas mereka dan dua lagi anggota kumpulan itu merompak sebuah farmasi di Bandar Pinggiran Subang dekat sini awal pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira 5.35 pagi, kesemua lelaki berusia antara 34 hingga 58 tahun itu ditahan ketika berada dalam sebuah kereta Mercedes Benz di depan premis farmasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Junaidi Bujang (gambar) berkata kejadian itu disedari pemilik selepas alat penggera kecemasan premis berbunyi.
“Pemilik premis itu terus menghubungi polis sejurus menerima isyarat amaran daripada telefon bimbitnya yang berbunyi berpunca daripada penggera kecemasan itu.
“Polis peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang ke lokasi kejadian mendapati tiga suspek berada di dalam sebuah kereta Mercedes Benz hitam manakala seorang lagi berdiri di depan premis,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Balai Polis Kampung Baru Subang Khamis malam.
Junaidi berkata polis kemudian bertindak mengepung kumpulan itu menyebabkan mereka tidak sempat melarikan diri.
Beliau berkata siasatan mendapati suspek berusia 58 tahun itu adalah orang yang dikehendaki polis dan aktif dalam kegiatan jenayah serta samun sejak 1977.
“Adiknya yang berusia 50 tahun dan dua yang lain masing-masing mempunyai lebih daripada dua rekod sebagai orang dikehendaki oleh polis Selangor, Kuala Lumpur dan Perak,” katanya.
Junaidi berkata polis menemui pelbagai alat yang dipercayai digunakan untuk menyamun dalam but kereta itu.
“Antaranya sebatang pemotong kelapa sawit diperbuat daripada besi yang diubah suai, sebatang tukul besi, sebilah gergaji, tiga bilah kapak, tiga topeng muka dan lima batang besi kuku kambing,” katanya.
Selain itu, polis merampas 35 tin susu pelbagai jenama, 12 botol air kesihatan, 18 botol vitamin dan tujuh keping plat pendaftaran kereta palsu.
Junaidi berkata pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut berhubung tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sumber bernama